Category talk:Malay Malaysians

From Wikipedia, the free encyclopedia

A.F. YASSIN (Ahmad Fadzil bin Haji Yassin, Fuad Hashim, Pena Kembara, B. Afizan, AFY) LAHIR  : 25 Disember 1944, di Kampung Gadung, Kota, Negeri Sembilan. ALAMAT : No. 26, Jalan 3/6K, Peti Surat 53, 43657 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. A.F. YASSIN mula terlibat dalam bidang penulisan dan kewartawanan pada tahun 1968 semasa bekerja sebagai Penyelia Teknik di kilang tekstil, Textile Corporation (M) Sdn. Bhd., sebuah syarikat Jepun di Johor Bahru. Sebagai pelajar aliran sains, minatnya dalam bidang penulisan dan kewartawanan memang dianggap janggal. Minatnya ini lahir apabila melihat sikap kebanyakan pekerja Melayu di syarikat itu yang tidak dapat menerima cara kerja jurutera Jepun. Sebilangan pekerja di kilang itu berhenti kerana tidak tahan bekerja lasak atau lebih waktu. Sikap anak-anak muda Melayu yang bekerja di kilang itu dijadikannya bahan penulisan menerusi "Forum Pembaca", Berita Harian, 27 September 1968. Setahun kemudian, A.F. Yassin berpeluang mengikuti latihan teknikal dalam bidang pemasangan jentera berat di syarikat tekstil Unitika Limited, di Nagoya, Jepun selama enam bulan. Sekembalinya ke tanah air, A.F. Yassin mengambil kesempatan untuk menulis beberapa buah rencana tentang budaya kerja orang Jepun yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia, Utusan Zaman dan Berita Harian.

Pada masa yang sama, beliau tidak melupakan penulisan kreatif, khususnya cerpen. Pada tahun 1970, cerpennya yang pertama tersiar dalam majalah Dian, berjudul "Satu Keputusan" (1969). Ceritanya berkisar pada kisah cinta seorang teruna Melayu yang jatuh hati terhadap gadis Jepun yang kuat memegang adat dan susila bangsanya.

Pada pertengahan tahun 1970, A.F. Yassin meletakkan jawatan untuk melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi MARA (ITM) dalam bidang perakaunan (Institute of Cost and Management Accountancy, ICMA).  Semasa setahun di ITM, A.F. Yassin giat menulis dan sering mengirim rencana/berita kepada Berita Harian dan Utusan Malaysia.  Malah pada suatu waktu, A.F. Yassin pernah dilantik menjadi pengarang surat khabar kampus, Suara Institut, kelolaan Kesatuan Pelajar Institut Teknologi MARA (KPITM).  Bersama-sama Ruhannie Ahmad (kini Ahli Parlimen Parit Sulong) dan beberapa orang penulis berbakat dari ITM, A. F. Yassin  mengasaskan penubuhan Persatuan Penulis Shah Alam. Musleh Mashudi dilantik sebagai Ketua Satu.

Pada tahun 1971, A.F. Yassin mengikuti kursus kewartawanan di Southeast Asia Press Centre selama dua minggu di Jalan Ampang. Dengan pengalaman kursus tersebut, A.F. Yassin diterima bekerja di Berita Harian sebagai sub-editor. A.F. Yassin diberi tugas menterjemah berita-berita luar negera dan mengolahnya kembali untuk konsumsi tempatan. Kebanyakan berita yang diterjemahkan adalah tentang politik dan ekonomi. Bimbingan dan tunjuk ajar daripada A. Samad Ismail dan A. Samad Said memberi kesempatan kepada A.F. Yassin memahami selok-belok dunia persuratkhabaran. Bagaimanapun, tiga bulan kemudian A.F. Yassin menerima tawaran jawatan sebagai pembantu sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Di DBP, A.F. Yassin bertugas di Unit Kegiatan Sastera, sebagai penyelaras di bawah pimpinan Usman Awang. Di samping itu, A.F. Yassin dikehendaki menulis untuk ruangan "Pita Sastera" dalam majalah Dewan Sastera yang melaporkan kegiatan sastera tanah air. A.F. Yassin juga bertindak sebagai "wartawan" majalah Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat. Pada tahun 1974 A.F. Yassin dilantik sebagai Penolong Editor Dewan Masyarakat dan setahun kemudiannya sebagai Timbalan Editor di bawah pimpinan M. Noor Azam.

Dua tahun kemudian, dengan galakan Noor Azam, A.F. Yassin berangkat ke Indonesia bagi melanjutkan pendidikannya di Universitas Padjajaran, Bandung dalam bidang publisistik (komunikasi). Semasa menuntut, A.F. Yassin diberi peluang mengisi ruangan Dewan Masyarakat yang diberi judul "A.F. Yassin dari Bandung" yang memuatkan tulisannya tentang peristiwa semasa di Indonesia. Di samping itu, A.F. Yassin terus menghasilkan cerpen dan esei sastera untuk akhbar dan majalah tanah air terutama dalam Mingguan Malaysia dan Dewan Sastera. Pada akhir kuliah setiap mahasiswa diwajibkan mengikuti Kuliah Kerja Nyata (KKN), dan latihan praktikal di media massa. Dalam KKN, ini A.F. Yassin ditugaskan dengan sekumpulan mahasiswa membuat penyelidikan tentang keberkesanan komunikasi pembangunan di kalangan penduduk di Padalarang, kira-kira 20 kilometer ke selatan Kota Bandung. Latihan praktikal di media massa pula dilakukan di akhbar harian Pikiran Rakyat di Kota Bandung selama tiga bulan. Tesis A.F. Yassin berpusat kepada etika kewartawanan di Malaysia yang kemudian diolah kembali dan diterbitkan pada tahun 1986 dengan judul Etika dan Wartawan.

Pada tahun 1980, A.F. Yassin lulus Ijazah Sarjana Sains Komunikasi dan sekembalinya ke tanah air beliau terus dilantik ke jawatan Pegawai Penyelidik dan bertanggungjawab sebagai Editor Dewan Masyarakat. Bersama-sama M. Noor Azam sebagai Ketua Editor, beberapa perubahan kepada format Dewan Masyarakat dibuat, termasuklah memperdekatkan majalah itu dengan semua golongan pemimpin masyarakat termasuk pemimpin politik, ekonomi, pendidikan dan badan-badan sukarela. Misalnya, dalam keluaran Dewan Masyarakat pada 15 Julai 1980, isi Dewan Masyarakat telah dirancang untuk meminta pandangan beberapa tokoh dan pihak tentang kebangkitan semula Islam.

Pada akhir tahun 1982, A.F. Yassin dilantik pula menjadi Editor Dewan Budaya. Menjelang Mac 1983, A.F. Yassin melepaskan tugas dan tanggungjawab di DBP kerana menerima tawaran bekerja daripada Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. sebagai Pengurus Penerbitan.

Bagi mendalami pengetahuan dalam penerbitan buku khususnya, A.F. Yassin mengikuti kursus intensif dua minggu di The Unwin Foundation Book House Training Centre, Oxford, dari 9 hingga 23 September 1983. Semasa mengikuti kursus ini, A.F. Yassin sempat berkenalan dengan editor-editor kanan dan pengurus penerbitan daripada penerbit-penerbit besar dari United Kingdom, termasuklah Cambridge University Press, Longman International, Macmillan, Heinemann dan Oxford University Press.

Penglibatan A.F. Yassin dalam penulisan turut terserlah menerusi kegiatannya yang berkaitan dengan bidang sastera, budaya dan penerbitan. Misalnya, pada tahun 1972, A.F. Yassin dilantik menjadi Penolong Setiausaha Persatuan Penulis Nasional (PENA). Kemudian beliau diundang menyertai program kunjungan sambil belajar (study tour) ke Tokyo dan Hiroshima oleh International Society for Educational Information yang beribu pejabat di Tokyo pada 14-27 Oktober 1985. Beliau juga pernah dilantik sebagai Panel Penasihat Kursus Diploma in Mass Communication (Publishing), di ITM, Shah Alam (1992-1995). Kerajaan Negeri Sembilan pula melantiknya menganggotai Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Penyelidikan Sastera Negeri Sembilan, selama dua tahun (1990-91). Sejak tahun 1990 juga, Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia melantik A.F. Yassin sebagai anggota Jawatankuasa Teknikal Hadiah Buku Kebangsaan. Beliau juga adalah Anggota Biro Hakcipta GAPENA sejak tahun 1997, Anggota Panel Penilai Hadiah Sastera Utusan - Public Bank sejak tahun 1997 dan Anggota Panel Hakim Peraduan Cerpen Remaja, Jabatan Perpaduan Negara, sejak tahun 1998. Sejak tahun 1994, A.F. Yassin dilantik sebagai kolumnis dalam Utusan Zaman menerusi ruangan "Sembang-sembang" yang kemudian dinamakan "Bicara" mulai tahun 1996.

A.F. Yassin pernah menjadi penulis jemputan untuk ruangan "Tamu Minggu Ini" dalam majalah Massa pada tahun 1998. Dua puluh tahun sebelum ini, majalah bulanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, iaitu Pemimpin, memberi kolum khas kepada beliau, yang menulis dengan nama pena B. Afizan. KARYA Novel Kanak-kanak - Robinson Crusoe (olahan semula). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974 - Sesat dalam Hutan. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1996. (dengan nama samaran Abd. Latif Abd. Rahman).

Cerpen - Nyiur Bertuah Nyiur Celaka. Kuala Lumpur: Eastern Universities Press (M) Bhd., 1981 - Suatu Subuh yang Bening (antologi bersama). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985 - Titisan Indah Di Bumi Merkah (antologi bersama). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985 - Angin Pulau (antologi bersama). Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd. 1985 - Alun Menggulung Perlahan (antologi bersama). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986 - Kuala Lumpur. Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd. 1988 - Cerpen Malaysia Selepas Perang Dunia ke-2 (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988

Esei/Sastera - Sembang Sastera, Bersama Orang Persuratan. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1998

Puisi - Permatang Budi (antologi bersama). Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1991

Umum - Etika dan Kewartawanan. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986 - Isu Pendidikan di Malaysia (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984