User:Afyassin
From Wikipedia, the free encyclopedia
CATATAN A.F.YASSIN Kembali ke Bonda Tanah Melayu
Sekembalinya dari ekspedisi Jejak Bahasa di Sumatera, Jakarta dan Bandung, hari kedua puasa, terlihat satu mesej di atas meja. Mesej itu dari Saleh Daud, Bendahari Gapena. Pendek saja bunyinya: Buku dah siap. Datanglah ambil - Saleh (ejaan rumi Saleh dengan satu L). Ketika mengunjungi rumah Gapena beberapa hari kemudian, orang yang memberi mesej tidak ada. Yang ada cuma penghuni tetap, Zul. Dia menyerahkan dua naskhah. Saya minta dua naskhah kerana ada dua orang yang menyumbang karya. Saya sendiri dan isteri, Rubiyah.
Tajuk buku "Daik, Bonda Tanah Melayu" segera mengingatkan saya kepada kunjungan budaya ke Lingga, 4-8 Julai 1999 yang lalu. Seperti baru semalam rombongan Gapena berkunjung ke sana. Malah ketika saya mengikuti ekspedisi Jejak Bahasa DBP-TV3 Oktober lalu, dan menyelusuri sungai Resun dari jeti Panchor-Pakaka, saya seperti berada dalam bot pompom yang sedang mudik. Kenangan meruntun-runtun datang dan mahu rasanya saya menghubungi rakan-rakan penulis yang ikut serta dalam rombongan Kembara Budaya Gapena itu.
Bonda Tanah Melayu itulah Daik. Dan Daik Bonda Tanah Melayu adalah tajuk buku yang diselenggarakan Rejab F.I. salah seorang peserta kembara budaya 1999 itu. Kepadanya telah diserahkan tugas mencari bahan dan menyusunnya dalam bentuk buku. Bahan boleh berupa apa sahaja, asal ia jenis ciptasastera, baik kreatif mahupun bukan kreatif. Rejab memerlukan hampir 15 bulan untuk mengumpul dan menerbitkan buku "Daik Bonda Tanah Melayu" ini. Kegigihan Rejab patut dipuji, terutama dalam usahanya mendapatkan hasil karya kawan-kawan penulis yang umumnya bersikap bagaikan liat-liat daging setengah masak.
Daik, Bonda Tanah Melayu (tebalnya 346 halaman) mengandungi pelbagai genre sastera yang terdiri daripada makalah, sajak, cerpen dan pantun syair. Juga dikepilkan gambar-gambar tentang kembara budaya di pulau yang dianggap budayawan Riau, Raja Hamzah Yunus sebagai mutiara bahasa melayu dari sudut kebahasaan. Ada 21 buah makalah, lima cerpen, 45 sajak dan sebelas pantun serta syair. Seramai 44 penulis - baru dan mapan - memberikan sumbangan. Penulis seperti Affrini Adham menyumbang dalam tiga genre, makalah, sajak dan pantun. Ada yang menyumbang dalam dua kategori seperti Rejab sendiri, Sabar Bohari dan Ahmad Jamaan. Rejab dalam "prakata" memberi rasional kepada penerbitan buku ini. Menurutnya, ketika berbincang di Daik ada peserta yang menyelar Gapena yang bergiat dengan langsung "tidak menghasilkan apa-apa, maksudnya himpunan karya-karya yang perlu diterbitkan." Rejab rasa tercabar dengan selaran peserta itu yang kebetulan bukan dari anggota rombongan Gapena. Rejab pun berunding dengan pucuk pimpinan Gapena, khususnya Tan Sri Ismail Hussein, Ketua Satu, dan menyatakan kesediaannya untuk mengumpulkan bahan dan seterusnya menerbitkannya sebagai "satu amanah".
Kata Rejab, "Saya berusaha menghubungi setiap peserta Malaysia, sejumlah 77 orang yang terdiri daripada berbagai latar kehidupan dan peserta dari Riau melalui Dr. Yusmar Yusuf, Kepala Pusat Pengajian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, universiti Riau." Rejab berhasil mendapatkan pelbagai karya dan dimuat dalam buku ini tanpa saringan dan penyuntingsn. Kata Rejab pemuatan cara begini bermaksud memberi kesempatan kepada para peserta "yang berusaha menghasilkan tulisan untuk diabadikan."
Dengan kata lain estetika karya tidak dinilai. Setiap karya yang dikirim dimuatkan. Yang penting bagi perkiraan Rejab ialah rakaman pengalaman penulis dalam bentuk apa jua pun untuk diabadikan. Malah pada sesetangah karya, diabadikan, "misalnya keajaiban bumi yang bernama Daik dengan gunungnya bercabang tiga, patah satu tinggal dua."
Penulis Evy R. Syamsir dari Riau melakar bumi Daik Lingga sebagai sebahagian daripada sejarah Melayu yang dilupakan. Katanya, Daik Lingga baginya adalah saksi sebuah kebesaran Melayu, yang kini hanyalah sebuah ibukota kecamatan Lingga, kabupaten kepulauan Riau yang jarang disebut-sebut orang. Katanya, "bahkan di sana tidak satu pun ada kemudahan umum untuk menunjangi kunjungan pendatang ke bekas kerajaan Melayu Riau Lingga itu."
Yusmar Yusuf menilai Daik Lingga dikenal sebagai sebuah negeri yang bertamadun tinggi, memiliki taji sejarah yang tajam dan panjang serta penuturan bahasa yang halus, yang merupakan benteng lidah Melayu sekaligus benteng tamadum. Namun keluhnya, "apa yang terjadi sekarang Daik ibarat amnesia sejarah kerana kita tidak pernah berniat sungguh-sungguh membangun Daik sehingga masyarakat di sana berada dalam garis kemiskinan." Apapun jua, Syamsir menilai keindahan alam Pulau Lingga, kekayaan sejarah dan budaya yang dimilikinya serta prestasinya di masa lalu "sebagai kerajaan Melayu Riau Lingga, pantaslahia disebut bonda Tanah Melayu. Siapa pun yang singgah ke Pulau Lingga akan berdecak kagum melihat indahnya panorama alam Gunung Daik (Gunung tertinggi di Riau, 1,200 meter) yang puncaknya bercabang tiga, perairan lautnya yang biru serta pemandangan laguna (danau tasik tepi laut) yang berhias rumpun bakau. Belum lagi kekhasan budaya Melayu masyarakat tempatan dan rimbunya pohon yang telah berumur ratusan tahun."
Inilah rakaman saksi mata tentang latar keindahan Lingga bersama Daiknya yang memukau. Latar keindahan itu menjadi objek mainan kata-kata sang penyair, lebih-lebih lagi dari Malaysia. Terlupa seketika akan nasib malang pulau itu di tengah-tengah kancah perekonomian bangsanya. Yang punya ilham mencipta akan mengungkaikan kata lunak yang kadang-kadang sinis menempelak yang ditujukan kepada pulau yang menyajikan keindahan semula jadi yang serba adanya.
Penyair Hashim Ismail, misalnya bermadah melalui "Daik, Bondaku". Melalui mata hatinya Hashim menulis, "Daik, bermula aku memijak tanahmu dapat kurenungkan kusut masai wajahmu/ Dapat kurasakan betapa erat peluk ciummu/ Membuatkan kita remuk redam/ Sebak dek debaran pertemuan/ Setelah sekian lama berjauhan…Kita tinggalkan dia kelemasan/Tenggelam dihanyut kegelapan zaman/Hilang haluan/hilang di perantauan.
Rahimidin Zahari, penayir muda dari Kuantan yang sedang "naik" menyumbang dua sajak berjudul "Beberapa Percakapan Di Tanjung Pinang" dan "Aku Di Kampung Masa Lampau". Dengarkan suara hati Rahimidin ketika "aku di kampung masa lampau/Mengapung jiwa di permukaan sungai/Yang jernih oleh rimbun pohon/aku menyelam ke dasar/batu-batu sejuk yang dingin/sambil bersalaman/dengan anak-anak ikan/yang jinak".
Rahimidin begitu nostalgik dan rindukan tamadun silam apabila melihat suasana kontras Daik dulu dan sekarang. Dia menghimbau "Anak-anak SD (sekolah dasar = rendah) yang manis, ibu/dan kakek yang menyapa/di sepanjang jalan -- menyalami kami/dengan suara emas bahasa dan /jalinan cermat adat yang tepu/bersukat." Lalu Rahimidin berhiba di jeti Sungai Resun sambil "kukesat mataku yang gerimis".
Yang menarik ialah suara rasa Sabar Bohari dengan nukilan tiga puisinya. "Wajahmu wajahku jua" seperti sebuah pengakuan dari dalam diri Sabar bahawa Melayu di Daik adalah "tulen/adalah sejati/mencengkam erat/tiada goyah oleh masa/tiada goyah oleh keadaan/bahasanya masih segar/masih utuh/diuji zaman/diuji gelombang." Lalu Sabar pun menyatu dalam keikhlasan cintanya terhadap Daik. Katanya, "Melayumu, Melayuku/akrab bersatu/mempamerkan keunggulan/ia akan menjadi saksi/satu bangsa/satu bahasa/Daik Lingga/wajahmu adalah wajahku jua."
Siapa pun tidak menduga bahawa pulau Lingga Daik yang jauhnya kira-kira 100 km dari Tanjung Pinang, malah lebih jauh dari Tanah Semenanjung begitu dekat dengan jiwa setiap peserta rombongan. Ada suatu daya tarikan yang menjadi pulau bersejarah itu dipuisikkan dengan "begitu syahdu". Seolah-olah ia tidak pernah lekang dan sirna dari hati para penulis Malaysia.
Malah lebih mengharukan ketika meneliti bait-bait syarir dan pantun yang dimuatkan, hasil nukilan sebelas penulis baru dan lama. Sebuah pantun berkait paling panjang mengandungi 33 rangkap bercerita tentang Pulau Daik sendiri. Pantun karya Yusof Bakar ini pantun nasihat tentang tingkah laku. Sekali baca ia seperti membawa tema "Gurindam 12" syair agung Raja Ali Haji itu. Namun terselit juga rangkap-rangkap yang bercerita tentang Daik, tentang Pulau pandan dan alam flora dan fauna sekitarnya.
Dalam satu rangkapnya Yusof seperti bertanya, "Dimasak oleh gadis Melayu/harganya mahal tiada ditanya/Daik bonda Tanah melayu/ Kemajuannya terpinggir di mana silapnya?" Manakala peserta Saleh Ali bagaikan jatuh cinta dengan tanah Daik apabila dia mencipta rangkap pantunnya, "Dua tiga kucing berlari/manakan sama si kucing belang/ dua tiga boleh kucari/ manakan sama puteri Daik seorang." Khabarnya Saleh berkunjung lagi beberapa kali ke Daik setelah Kembara Budaya Gapena. Khabarnya juga dia banyak membantu membina sebuah kelong dan sebuah sekolah agama di pulau itu.
Dalam ulasannya Ismail Hussein menganggap hasil karya dalam buku ini adalah "suara hati dan suara bicara para peserta - amat berguna untuk kajian dan penyelidikan tentang Daik dan Pulau Lingga yang suatu ketika dahulu menjadi pusat pemerintahan Melayu serumpun." Kata Ismail lagi "peserta merakamkan segala aspek yang mereka perolehi sama ada secara spontan, menemuramah penduduk Daik, penyelidikan daripada bahan-bahan sejarah atau dari hasil inspirasi mereka sendiri menghasilkan karya-karya kreatif cerpen dan puisi." Ismail dan Gapena terhutang budi dengan Malaysian Ensaiklopedia Research Centre Berhad pimpinan Haji Hassan Hamzah yang sudi menaja penerbitan antologi empat genre ini. Jarang amat kita melihat dan membaca sebuah buku berisikan pelbagai genre sastera sekaligus. Penajaan oleh sebuah pusat penyelidikan ini bagaikan menyahut cabaran seorang peserta Perkampungan Penulis Melayu Serumpun dahulu itu.
Mahunya usaha murni ini dapat diteruskan dengan kelahiran lebih banyak buku seumpama ini dan setiap kali Gapena "berkabilah" ke sesuatu lokasi Melayu. Cuma barangkali antologi seperti Daik Bonda Tanah Melayu ini sebaiknya disusun tanpa mengesampingkan nilai estetika yang diperlukan dalam sesebuah hasil karya.
A.F.Yassin 19 Disember 2000.
CATATAN A.F YASSIN JELAJAH BAHASA BUKIT TINGGI PEKAN BARU
Perjalanan tujuh jam dari Bukit Tinggi ke Pekan Baru di Sumatera melelahkan. Penerbit Jejak Bahasa dari TV3, Zailan Abdul Rahman malah terpaksa menekan perut sepanjang perjalanan kerana mual dan sakit-sakitan. Katanya, “Sudah tiga kali saya buang air sejak pagi.”
Ada yang kata Zailan terkena cirit-birit kerana m akan tidak menentu. Hal ini ditambah pula dengan makan nasi padang, pagi dan petang tanpa mengira masa. Zailan merupakan orang kesepuluh daripada sebelas anggota rombongan Jejak Bahasa ke seluruh Sumatera dan Jakarta yang terkena cirit-birit ini. Saya juga melihat jurukamera, Mohamad Fitri Maat berwajah lesu dan pucat sahaja. Barangkali penyakit cirit-biritnya belum sembuh betul. Goncangan bas sepanjang perjalanan menambah derita kru TV3 yang dua ini.
Pada hari pertama di Pekan Baru, ibukota Propinsi Riau, tiada penggambaran dijalakan untuk merehatkan mereka. Sebaliknya satu post-mortem diadakan untuk menilai kualiti penggambaran pada hari terakhir di Sumatera Barat. Istana Besar Pagar Ruyung dijadikan objek penggambaran. Perantara kami, Wisran hadi, yang baru sahaja menerima anugerah SEA Write Award di Bangkok baru-baru ini menjelaskan orang Minang menganggap bahasa Minang dengan bahasa Melayu erat hubungannya dengan bahasa Melayu. Katanya persamaan kedua-dua bahasa itu terlalu besar untuk melihat perbezaannya yang tidak seberapa.
Menurutnya ada juga ahli bahasa yang berkata bahawa bahasa Minang itu sebenarnya bahasa Melayu tetapi mempunyai dialek Minang. Walaupun Wisran tidak setuju dengan pendapat ini, namun Wisran sependapat dengan pengarang A.A. Navis bahawa dua bahasa ini identikal, terutama dalam kata perbilangan. Bagaimanapun, yang menarik di ranah Minang ini ialah sejarahnya.
Berdasarkan tambo dan kaba, satu ketika dahulu ada tiga orang anak Raja Iskandar Zulkarnain dari Mesedonia. Yang tua bernama Maharajo Alif, yang tengah bernama Maharaja Depang dan yang bongsu bernama Mahara Dirajo. Ketika belayar mereka bergaduh sesama sendiri sehingga mereka menghala ke tujuan masing-masing.
Maharaja Alif belayar ke barat lalu menjadi raja di Bizantium. Mahajara Depang menuju timur lalu menjadi raja di China dan Jepun sementara Maharaja Dirajo menuju selatan.Kapalnya kemudian tersangkut di puncak Gunung Merapi yang ketika itu kawasan sekitarnya ditenggelami air. Setelah air surut Maharaja Dirajo turun dari puncak itu dan berbuat negeri. Konon ceritanya, Puncak Merapi itu adalah asal alam Minangkabau di samping Singgalang, Tandikat dan Sago.
Menurut sejarah, Kerajaan Pagar ruyung di Batu Sangkar didirikan oleh seorang raja dari Jawa, bernama Adityawarman. Kerajaan ini adalah lanjutan daripada kerajaan di Jambi. Dan Adityawarman merupakan raja pertama Pagar Ruyung. Kerajaan ini bertahan sehingga tahun 1809 apabila ia dimusnahkan oleh pasukan Tuanku Lelo dari Angkatan Perang Padri.
Apabila Belanda menguasai seluruh wilayah minangkabau pada tahun 1840 bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah. Sementara itu sekolah guru yang pertama didirikan di Bukit Tinggi pada tahun 1855. Sekolah ini akhirnya dikenali dengan sekolah raja.
Sedikit demi sedikit bahasa Melayu di sekolah itu ditingkatkan fungsinya sehingga menjadi bahasa penyampai ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu dipelajari secara mendalam termasuk kaedah tata bahasanya. Kemudian dibuka pula sekolah yang berteraskan pendidikan agama Islam. Ramai orang Minang memanfatkan sekolah ini dan antara tokoh agama yang lahir hasil pendidikan agama ini ialah Sheikh Ahmaf Khaten dari Bukit Tinggi, Sheikh Muhamd Thaher Jalaluddin, juga dari Bukit Tinggi dan Hamka sendiri dari Danau Maninjau. Bahasa Melayu berkembang dengan lahirnya beberapa hasil karya pengarang asal Minang.
Hari ini kita tidak dapat menidakkan peranan pengarang asal Minang dalam memerkaya bahasa Melayu yang sejak tahun 1928 dinamakan bahasa Indonesia. Antara yang patut disebut ialah Marah Rosli, seorang doktor haiwan yang menghasilkan “Siti Nurbaya” (1922), Nur Sutan Iskandar dengan “apa Dayaku Kerana Aku Perempuan”(1922), Abdul Muis dengan “Salah Asuhan”. Sementara Hamka pula dengan hasil karyanya “Di Bawah Lindungan Kaabah”(1936), “Tenggelamnya Kapal Van der Wijck”(1938) dan “Di Dalam Lembah Kehidupan”(1940).
Khamis 16 November Penggambaran dimulakan di tingkat teratas Hotel Mutiara Merdeka, Pekan Baru. Suasana Pekan Baru disorot dari satu tempat tinggi secara panoramik. Ini dilanjutkan ke Pasar Cik Puan di tengah-tengah kota. Penggambaran setiap unsur memakan masa hampir tiga jam. Penyakit cirit-birit Muhamad Fitri kambuh lagi. Maka mahu tidak mahu sesi penggambaran untuk hari itu ditamatkan secara mendadak dan semua anggota kru pulang ke hotel. Untung juga hotel yang kami tumpangi agak selesa.
Sebenarnya ketika sampai di Pekan Baru, kira-kira pukul lapan malam, rombongan ditempatkan di sebuah hotel tiga bintang di pusat kota. Namun setiap anggota rombongan mengadu kamar tidak layak digunakan. Bilik airnya terlalu dhaif sehingga ada anggota yang mengadu tidak selesa untuk dimanfaatkan. Pengacara Azura Karim dan saya sendiri terpaksa pindah bilik apabila mendapati ada tikus di kamar kami masing-masing. Datuk Profesor Emeritus Dr Asmah Hj Omar terpaksa kembali semula ke lobi membuat aduan bahawa kamarnya ada nyamuk. Jurulampu, Mohd Khaidir Abul Abas pula mengadu air paipnya berlumut. Dia tidak mandi malam itu.
Mahu pindah hotel hari sudah malam, maka mahu tidak mahu terpaksalah setiap anggota menanggung azab tidur di kamar yang dhaif demikian. Ketua projek, Othman Ismail langsung tidak terkata malam itu melihat azab menginap di hotel tiga bintang ini. Othman memutuskan untuk pindah ke hotel yang lebih baik esoknya.
Ada seorang anggota rombongan yang menganggap pengalaman beberapa hari ini sebagai sudah jatuh ditimpa tangga. Setelah terkena penyakit cirit-birit, mereka tidur di kamar hotel yang mempunyai masalah asas. Katanya, “Barangkali kita terlau lama mengadakan penggambaran.Maklum dari Tanjung Pinang, Pulau Daik, Batam, Jakarta, Bandung, Padang, Bukit Tinggi dan kini Pekan Baru. Sudah tiga minggu kita mengembara menjejaki bahasa. Dan ia meletihkan.”
Kurang jelas apakah rombongan boleh menghabiskan baki perjalanan ke Palembang, Jambi, Bangka dan Medan hingga 28 November depan. Othman telah mula mencongak-congak. Dia tidak mahu menunda kepulangan lebih lama daripada yang telah dijadualkan, Jika perlu penggambaran di Medan akan ditangguhkan hingga selepas puasa. Dan ini tentunya akan melibatkan penjadualan semula pakej kedua penggambaran ke Kalimantan, Sulawesi, Brunei, Singapura dan seluruh negeri di Sememnanjung Malaysia. Apapun jua Othman akan berbincang terlebih dahulu dengan Zailan sebagai pengarah (sutradara) Jejak Bahasa.
Selama di Pekan Baru beberapa unsur penggambaran telah dikenal pasti dan dibincangkan dengan Dr Yusmar Yusuf, yang dilantik menjadi seranta rombongan untuk sektor Pekan Baru. Yusmar adalah ketua Pusat Pengajian dan Kebudyaan Melayu, Universiti Riau. Antara objek penggambaran ialah universiti Riau sendiri, kawasan Pelalawan (Kampar Tua), tempat pemakaman Sultan Mahmud Shah, sultan terakhir Melaka dan Tun Fatimah, Siak dan jika waktu mengizinkan ibu pejabat akhbar Riau Pos.
Penggambaran akan memperlihatkan pengembangan bahasa Melayu Riau yang dikatakan adalah pecahan daripada bahasa Melayu Johor-Riau. Bahasa Melayu Riau ini adalah kesinambungan daripada bahasa Melayu kerajaan Melaka. Setelah Melaka dialahkan Portugis, Kerajaan Melaka berpindah ke Johor dan kemudian ke Riau. Bagaimanapun perjanjian Inggeris-Belanda tahun 1824 menyebabkan Johor Riau berpecah. Johor dikuasai Inggeris dan Riau oleh Belanda.
Belanda menjadikan bahasa Melayu Riau sebagai alat perhubungan dengan penduduk pribumi di Nusantara. Banyak sekolah Melayu dibuka di luar daerah Melayu Riau, seperti di Sumatera Timur dan Indonesia Timur. Berasaskan bahasa Melayu Riau inilah bahasa Indonesia diwujudkan melalui sumpah terkenal Sumpah Pemuda tahun 1928.
Sekarang, bahasa Melayu Riau hanya berstatus bahasa daerah. Jumlah penuturnya sekitar satu setengah juta orang. Ia dibahagian kepada dua dialek terbesar, iaitu dialek Melayu Riau Kepulauan dan dialek Melayu Riau Daratan. Dialek Riau Kepulauan dituturkan oleh penduduk-penduduk yang tersebar di gugusan pulau Bentan, Pulau Lingga (Daik), Pulau Serasan, Pulau Tambelan, Pulau Tujuh, Pulau Bingaran dan Pulau Natuna. Dialek ini juga dituturkan oleh masyarakat di Bengkalis, Bukitbatu, Siak dan daerah yang meliputi Propinsi Sumatera timur. Manakala dialek daratan tersebar di Dumai, Bangkinang, Kuala Kampar, Kubu, Tembusai dan Lubuk Jambi, sekadar menamakan beberapa tempat.
Rombongan akan menjejaki kedua-dua dialek ini dalam pakej penggambarannya. Yang menjadi masaalah nanti ialah bagaimana melihat perkembangan bahasa Melayu Riau ini dari sudut visual. Menjadi beban tugas Zailan sebagai sutradara untuk mencipta secara kreatif imej-imej bahasa dalam bentuk bingkai-bingkai kecil filemnya. Pekan Baru, Riau, 17 November 2000.
CATATAN A.F.YASSIN PEMUKIMAN ARSYAD AL-BANJARI DI BANJARMASIN
Timbalan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kalimantan Barat yang juga budayawan disegani di Banjarmasin, Hj Hijaz Yamani serta dua tokoh lain menyambut kedatangan rombongan Jejak Bahasa di tangga pesawat Garuda yang membawa kami dari Jakarta 24 Januari lalu. Hijaz langsung mengiringi rombongan ke Ruang VIP di lapangan terbang Syamsuddin Noor Banjarmasin untuk menikmati jamuan ringan “Selamat Datang”sambil menunggu 38 buah beg besar dan peti peralatan penggambaran TV3 dipunggah dari pesawat ke empat buah van yang menunggu. Sambutan VIP ini adalah kali kedua buat rombongan Jejak Bahasa setelah Makasar dua minggu sebelumnya. Yang mujurnya di Banjarmasin, rombongan sempat diperkenalkan kepada Timbalan Gabenor Kalimantan Barat, Insinyur Irya Darham yang kebetulan turut sampai di lapangan terbang.
“Kami harap Jejak Bahasa dapat membantu kami memperkenalkan daerah kami di Malaysia,” kata Timbalan Gabenor yang turut diiringi oleh Walikota Banjarmasin. “Sudah ada kenderaan?” tanyanya kepada Hijaz. “Sudah disiapkan, Pak,”jawab Hijaz Sebagai tanda kenangan, Haji Alias Yusof jurugambar yang baru sebulan bersara dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengabadikan gambar ramai bersama Timbalan Gabenor sebelum berpisah.
Banjarmasin, yang pertama kali dikunjungi kebanyakan anggota rombongan terkenal dengan seorang ulama yang kitabnya menjadi rujukan sebahagian besar orang Melayu di alam Nusantara. Ulama itu Syeikh Mohamad Arsyad al-Banjari terkenal sebagai pengarang buku fiqih “Perukunan Melayu” yang kita menjadi buku pegangan sejak 200 tahun yang lalu. Arsyad adalah seorang tokoh ilmu fiqih dan tasauf. Juga ahli hisab dan ilmu falak.
Di kampung tempat dia bermukim dinamakan Desa Dalam Pagar, sejak dia kembali ke Indonesia pada tahun 1773 dari Mekah. Di Tanah suci dia memperdalam ilmu agamanya dan berguru dengan antaranya Abdul Samad al-Falimbani, Abdul Wahab Bugis, Syekh Abdul Rahman al-Misri. Ualama arab terakhir ini kemudian bermukim di Betawi (Jakarta sekarang) untuk meneruskan kegiatan mengajarnya di Indonesia. Arsyad sendiri telah diberi penghormatan untuk mengajar ilmu agama di Masjidil Haram dan mengeluarkan beberapa fatwa kepada anak-anak didiknya.
Desa Dalam Pagar yang kami kunjungi pagi 25 Januari tenang memagari Sungai Martapura yang membelah dua kampung. Sebuah rumah batu, persis di depan jambatan yang merentasi sungai didiami oleh anak cucu Arshad dengan ketua keluarganya, Haji Mohamad Irsyad Zein (57 tahun), generasi keenam Arsyad al-Banjari. Menurut Haji Irsyad, moyangnya itu lahir pada 11 Mac 1710 dan meninggal dunia pada 13 Oktober 1812.
Sekembalinya ke Banjarmain Sultan mengurniakan sekeping tanah, yang kemudian dipagar sendiri oleh al-Banjari. Oleh kerana keadaan berpagar, maka kampung itu dikenali dengan nama desa Dalam Pagar. Al-Banjari menjalani hidup berdakwah dengan memegang jawatan sebagai Mufti dalam Pengadilan Agama. Keturunannya selalu sahaja dilantik menjadi mufti kemudian daripadanya. Selain kitab ‘Perukunan Melayu”al-Banjari turut mengarang kitab “Sabilul Muhtadin”.
Kitab ini sangat besar iktibarnya kepada bahasa Melayu seperti yang ditulis pada akhir kitab ini sebagai “Sebuah kebun yang mempunyai buah-buahan yang indah-indah dan bunga-bungaan yang tiada layur adalah dicap akan dia seperti barang yang dilihatkan atas rupa yang jamil, Insyaallah ia terlebih sahih dan sejahteradaripada tahrif dan tabdil.” Menurut ceritanya, pihak berkuasa Belanda sering meminta nasihat al-Banjari untuk menentukan permulaan puasa bulan Ramadhan dan mengukur kedalaman laut.
Menurut Haji Irsyad kitabtab “Sahibul Muhtadin” dikarang moyangnya di Desa Dalam Pagar sendiri dan menjadi sumber rujukan utama dalam mengajar ilmu agama Islam kepada murid-murid di Pondok Pesantren (sekolah pondok) Desa Dalam Pagar yang diusahakan oleh keluarga keturunan al-Banjari. Sebuah yayasan yang dinamakan Yayasan Syekh Muhammad Arsyad mengendalikan sekolah pondok yang jumlah muridnya sekitar 100 orang.
Demikianlah kedatangan rombongan Jejak Bahasa ke Banjarmasin memberi kesempatan untuk mendalami perihal kehidupan seorang ulama besar alam Melayu. Sambutan begitu mesra keluarga keturunan al-Banjari ini tidak kami duga samasekali. Selama dua hari rombongan memperdalami sumbangan al-Banjari dalam bidang agama Islam. Yang menarik ialah kedua-dua kitabnya itu dicetak dalam bahasa Melayu tulisan jawi. Othman Ismail, ketua rombongan menilai bahawa penyebaran agama Islam di Banjarmasin, terutamanya oleh al-Banjari turut mengembangkan bahasa Melayu tulisan Jawi di Kalimantan Selatan. Di tengah-tengah majoriti penduduk keturunan Banjar yang mempunyai bahasanya sendiri, bahasa Melayu berkembang menjadi bahasa penghubung dalam bidang agama. Sheikh Mohamad Arsyad al-Banjari merupakan tokoh pengembangnya dengn Islam sebagai pemangkinnya.
Selain menyoroti tokoh agama ini, Jejak Bahasa membuat penggambaran tentang kota Banjarmasin yang terkenal dengan intannya. Batu bernilai ini dikeluarkan melalui proses pendulangan. Di desa Cempaka mendulang intan merupakan satu pekerjaan tradisional, diusahakan sejak turun-temurun. Penduduk kampung ini biasanya menggali lubang sedalam 10 meter secara berkumpulan. Mereka mendulang bahan galian dengan melinggangnya. Tanah akan menjadi lumpur dan yang tinggal hanyalah pepejal keras. Dan jika nasib baik pepejal itu adalah sebutir intan. Adakalanya yang tinggal itu adalah batu akid atau pasir emas.
Di kota martapura sendiri, kira-kira setengah jam perjalanan dari bandar Banjarmasin banyak terdapatrumah-rumah tempat penggosokan intan baik secara tradisional mahupun secara moden. Yang paling terkenal ialah penggosokan intan tradisional Kayu Tangi Martapura. Kota Martapura ini diberi jolokan sebagai kota intan dalam erti sebenarnya. Hampir setengah kedai di Martapura meniagakan batu permata akid, intan dan batu aji.
Dari udara Banjarmasin kelihatan seperti sebuah pulau yang dilingkari Sungai Barito, yang dikatakan antara yang terdalam dan terpanjang di Indonesia. Salah seorang perantara Jejak bahasa mengungkapkan sebuah cerita lisan tentang peristiwa yang berlaku di pulau itu. Menurut ceritanya, ketika Pangeran Suri Ansah berkuasa, lashkar Portugis datang merompak di pulau itu sehingga Pangeran menjadi murka. Rakyat sangsara dan ada yang dibunuh dengan kejam.
Kekejaman Portugis yang tidak dapat dibendung lagi itu menyebabkan Pangeran Suri Ansah menyumpahi bangsa dari Barat ini. Dengan sumpahan demikian, seluruh soldadu Portugis itu bertukar menjadi monyet manakala kapalnya menjadi pulau yang dikeliling oleh Sungai Barito. Pernah juga diceritakan pada satu ketika ada orang yang mahu membina bangunan. Waktu menggali lubang dengan gerudi terasa ada semacam benda keras di bawah tanah. Ada yang menganggapnya serpihan kapal Portugis yang menjadi sudah menjadi pulau.
Bersiar-siar di bandar Banjarmasin begitu menenangkan dengan Sungai Barito yang membelah dua bandar.Sungai ini merupakan alat penghubung dengan bot dan sampan serta feri menjadi pengangkut umum utama. Sesekali mudik kapal besar membawa muatan. Air sungai amat keruh dan di sana sini pokok kiambang menghilir lalu. Masjis Jamek di tengah-tengah kota adalah lambang berkembangnya Islam di bandar yang hampir 90% penghuninya beragama Islam.
Di satu persimpangan, berhampiran Bangunan Persatuan Wartawan Indonesia Cabang Kaliman Selatan, tersangkut kain pemidang yang besar dengan tulisan yang mengiklankan pertunjukan Kris Dayanti, penyanyi Indoensia yang mendapat di hati peminatnya di Malaysia. Kris yang terkenal dengan lagu “Menghitung Hari”itu sedang mengadakan persembahan di ibukota Kalimantan Selatan itu. Tertulis antarnya “Keris Dayanti, artis yang termahal saat ini di Indonesia.” Tulisan itu segera mengingatkan saya tentang “harga”persembahan penyanyi Siti Norhaliza yang menempa nama dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Cuba juga mencongak-congak berepalah yang diperoleh Kris Dayanti berbanding Siti Norhaliza.
Pengacara Jejak Bahasa Azura Abdul Karim yang begitu meminati lagu Menghetong Hari sedikit “excited” apabila diberitahu Kris Dayantai ada di Banjarmasin. Dan ketika kami sedang bersiap-siap untuk berlepas dari lapangan terbang Syamsuddin Nor pada 28 Januari lalu, kami terserempak dengan Kris yang turut akan ke Jakarta. Azura sempat bersapaan dan berjabat salam dengan Kriis. Ketika anggota rombongan melintasi tempat duduknya dalam pesawat, Kris menyapa salah seorang anggota rombongasn, “Dari Malaysia ya!” Barangkali dia menyapa kerena anggota itu memakai baju yang membawa lambang “Duniamu TV3”.
“Kita ini dikira beruntung juga ya di Banjarmasin. Kita dapat bertemu dengan anak cucu ulama besar al-Banjari. Kita dapat lihat banyak batu permata dan intan di Martapura. Kita jumpa Timbalan Gabenor Kalimantan Selatan dan sekarang kita bersama dengan Kris Dayanti dalam satu kapal terbang ke Jakarta,” kata anggota rombongan yang disapa Kris.
“Itu kurang. Yang lebih ayik lagi ialah kita disambut luar biasa hebatnya oleh orang Banjar. Pulang pergi di lapangan terbang kita menimmati layanan VIP. Kecuali sewa kenderaan rombongan tidak keluar duit, tidak seperti di Menado dan Makasar,” kata seorang anggota lain.
Othman mengakui bahawa kos penggambaran Jejak Bahasa di Banjarmasin adalah yang terendah sejak ekspedisi pertama dahulu. Ertinya hos Jejak Bahasa di Banjarmasin, terutama Haji Hijaz Yamani ingin mempastikan bahawa rombongan Jejak Bahasa mendapat layanan kelas satu untuk seperti katanya, “usaha murni DBP dan TV3 tidak tinggal sia-sia di bumi kencana itu. Puncak sambutan mereka ialah pementasan teater “memanda”semacam teater bangsawan dengan cerita “Ïndra Bangsawan” tetapi diolah secara komedi.
31 Januari 2001.